Saturday, 26 May 2018
Wednesday, 25 April 2018
KEKASIH YANG TAHU BERTERIMA KASIH
"Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang"
Sudah lama saya meninggalkan dunia penulisan lebih-lebih lagi apabila semester baharu telah pun bermula maka bermulalah kehidupan tanpa rehat saya (bercanda sahaja) haha. Saya telah pun berjaya mengharungi separuh semester dengan keadaan yang waras, adakalanya saya hampir menjadi gila barangkali kerana silap saya juga yang tidak tahu menyusun atur jadual hidup apatah lagi menentukan yang mana keperluan dan yang mana kehendak (sepertinya kelas ekonomi ya?)
Baiklah melihatkan tajuk sahaja sudah pastilah ini adalah sebuah coretan yang manis buat kekasih saya, ya, dia yang biasa-biasa saya yang manis hewhewhew, hubungan kami bukanlah hubungan yang biasa-biasa, terlalu banyak dugaan dan cabaran kami lalui bersama lebih tepat lagi kami redah bersama (terlupa bawa payung basah juga akhirnya). Sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk mencintai dia apatah lagi membiarkan dia mencintai saya akan tetapi hati ini adalah hak Allah dan rasa yang terdetik itu juga daripadaNya. Benar kita mampu mengawal cuma terkadang ada hal yang kita sengaja biarkan kerana sayang kita sudah pun berbunga dan berbuah ecewah!
Kekasih saya adalah seorang kekasih yang biasa-biasa tiada yang istimewa tentangnya ini menurut orang di sekeliling saya, menurut saya dia adalah seorang insan hebat dan juga seorang yang saya sentiasa jadikan penjaga. Meskipun saya tahu Allah jugalah yang menjaga saya akan tetapi kekasih saya juga adalah hadiah terindah yang dihadiahkan Allah buat saya dalam masa yang sama dia juga adalah ujian buat saya kerana kita sebagai manusia tidak seharusnya mencintai sesama kita melebihi yang Esa.
Hari berganti hari dia semakin menunjukkan cinta dan kasih sayang yang tidak bertepi, dia selalu bersama dikala susah dan senang meskipun dia tidak mampu memberikan bantuan dia akan selalu memberikan sokongan dan dia akan menjadi yang pertama menghulurkan tisu buat sapuan airmata yang bercucuran di pipi. Dia adalah seorang lelaki yang sentiasa mencuba menjadi seperti apa yang saya mahukan, dia akan sentiasa mencuba mengadakan apa yang saya hajatkan, tetapi dengan cara dia sendiri. Dia adalah seorang lelaki yang tak pernah jemu dengan sikap saya yang kebudak-budakkan, dia yang selalu menahan perasaan saat perangai saya minta makian. Ya dia lelaki yang tidak sempurna tapi sentiasa melengkapkan.
Untuk hari ini coretan ini adalah tanda saya berterima kasih, dia telah pergi untuk sebuah pekerjaan yang tidak pernah ada dalam senarai pilihan, dia pergi kerana dia mahu ambil satu langkah kehadapan dalam menghalalkan hubungan, saya amat berterima kasih untuk kasih sayang yang dia berikan, meskipun baru 3 hari kami berjauhan tanpa alat komunikasi yang menghubungkan sayang saya kepada dia tidak berkurangan dan doa saya dia juga sama masih bertahan.
Untuk kalian yang punya cinta tapi mungkin tak kesampaian saya doakan dipermudahkan segala yang kalian impikan doakan juga yang baik-baik buat kami berdua di masa hadapan, semoga Allah mempermudah dan memberikan jalan untuk sebuah hubungan yang halal dan mendapat keberkatan.
Terima kasih sayang untuk segala hal, semoga terus tabah menghadapi hari-hari mendatang bersama saya.
SUNGGUH MOLEK SANGGUL DAN PAKAIAN
BUAT BEKALAN SEORANG WANITA
MASIH SAYA MENANTI TUAN
MOGA TUHAN SATUKAN KITA
_aienaznan_
Wednesday, 20 December 2017
Rezeki Allah
"Dengan nama Allah yang maha penyayang lagi maha mengasihani"
Seumur hidup aku, ini adalah kali pertama aku menulis dalam keadaan yang sebak, bukan kerana apa kerana aku merasakan saat ini aku terlalu jauh dengan Tuhan sedangkan Tuhan tidak pernah sekali menjauhi aku, sehina apa pun aku, sejahat mana pun aku, sejelek apa pun aku Tuhan tidak pernah sekali menjauh.
Sedang aku dalam begitu banyak rahmat dan berkat yang dilimpahkan aku masih lupa dan kadang lalai dalam menjalani hidup sebagai seorang hamba. Hari berganti hari dan musim pun berlalu, aku cuma menjalani hari-hari biasaku tetapi dalam kebiasaan ini ada banyak hal yang berlaku barangkali tuhan sedang cuba mengetuk pintu hatiku, Dia rindu dan aku masih begini angkuh sombong selesa seakan dunia ini miliku.
Sedikit daripada kita sedar yang setiap ujian dan setiap apa yang Allah berikan itu adalah hadiah tanda kasih sayangNya pada kita, kita ini cuma tahu merungut dan ya, dalam 10 hal mungkin cuma satu kita akan benar rasa bersyukur itu pun kalau kita masih ingat untuk mensyukuri setiapnya.
Rupa yang elok, paras yang sempurna, kesihatan yang baik, akal yang waras, makan dan pakai yang ada, ini kan semuanya rezeki Allah, akan tetapi ramai juga yang mengatakan "ah, andai sahaja aku mampu untuk begini, begitu pasti akan lebih baik" sedarkah kita bahawa Allah sahajalah yang maha mengetahui lagi maha berkuasa di atas setiap kejadian. Dijadikan dan disempurnakan setiap hal itu di dalam kekuasaanNya dan pengetahuanNya. Dia sahajalah yang malah mengetahui jika sesuatu itu benar baik atau tidak untuk kita.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Ayat di atas jelas menunjukkan yang kita ini punyai akal yang sangat terhad dan kita tidak akan mampu untuk mentafsirkan sesuatu hal, adalah lebih baik kita sentiasa bersangka baik kepada Allah dan setiap ketentuanNya. Penulisan kali ini ditulis bukanlah untuk menunjukkan rasa pandai mahupun meninggi diri ia lebih kepada mengingati diri sendiri supaya tidak tersasar nanti. Terlalu banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini, contohnya pengisytiharan baitumaqdis sebagai ibu negara Israel, kes bunuh diri yang semakin meningkat angkanya, kes bunuh sesama Islam apa lagi jika kita melihat kes zina dan maksiat dan juga lambakan mereka yang cuba mengubah ciptaan Allah dengan alasan naluri mereka sedari kecil begitu, apa pun alasanya saya tidak akan pernah bersikap prejudis namun harus mereka dan semu ketahui hal ini adalah salah dan kekal berdosa.
Ya memang benar kita bukanlah maksum, akan tetapi kita seharusnya mencuba sehabis boleh untuk meminimakan dosa yang bakal dicatit sebagai amalan kita kelak, jika benar ajal kita terlalu hampir kita semestinya ingin mati dalam husnul khotimah. Moga kita akan biasakan diri untuk melakukan segalanya dengan niat kerana Allah dan kita akan selalu mengikhlaskan sesuatu daripada Allah itu dengan seikhlasnya kerana ketahuilah Allah tidak pernah zalim dan Allah tidak pernah tidur, Dia selalu ada dengan kita dan kita ini jangan pula mengangkat diri terlalu tinggi kerana apa yang kita punya semuanya pinjaman sementara.
Terima kasih Allah untuk semua rezeki barangkali belum masa bergelar isteri tapi masih diberi kedua ibu-bapa yang sangat dikasihi, adik beradik yang selalu di sisi, rakan-rakan yang tak kenal erti lelah, pekerjaan yang baik, kesihatan diri dan tubuh badan yang sempurna, peluang untuk berjihad dalam mengumpul ilmu di dunia dan ya terima kasih Allah untuk kehadiran seorang lelaki yang mengusik hati, mungkin belum pasti sehingga ke mana jodoh bersama didoakan ke jannah hendaknya. Biarlah apa pun kata-kata yang diterima hanya Engkau yang mengetahui segalanya.
_aienaznan_
Tuesday, 28 November 2017
Saat Kita Jauh
"Dengan nama Allah yang mah pengasih lagi maha penyayang"
“Dan apabila kamu menghitung ni’mat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya” (Q.S. Ibrahim: 34)
Dan benarlah kita akan sentiasa berkira-kira dengan apa juga yang kita lakukan, selang sahaja masa yang kita ada, kita akan selalu berkira-kira, dahulunya aku sering memerhati diri sendiri tanpa pernah merasakan apa-apa, sehinggalah pada suatu hari aku duduk dan melihat seorang anak kecil sedang solat, aku senyum sendirian dalam hati aku berkata "pandai ibu bapanya mengajarkan anaknya solat seawal usia" kemudian anak kecil itu tadi berlalu di hadapan aku dan aku panggilkan dia, "dik, sini kejap, nak tanya haaa", dia menghampiri aku dan senyum, aku tanya pada dia "pandainya solat, mak ayah mana, kat luar ke? siapa ajar solat?" anak kecil ini tadi kemudiannya beralih pandangan matanya berkaca, aku serba salah, "alamak, salah soalan ke ni huhu" dia kemudiannya menjawab "mak abah dah tak ada dah nenek cakap dorang dah tak boleh balik lagi, erm solat ni sebab tuhan suruh tapi kalau tuhan tak suruh pun kena buat jugak sebab tuhan kan baik Dia bagi Abil tangan mulut kaki semua la Dia bagi, mak ngan abah pon sempat je bagi Abil sekolah semua" aku pula yang terdiam, aku pula yang merasa tak keruan, saat aku mendengarkan jawapannya hati aku bagaikan dicerai-cerai, malu sebenarnya, dia kemudiannya berlalu pergi kerana dipanggil neneknya.
saat dia pergi airmata aku mengalir laju, selama hari ini aku melakukan segala perintah Allah hanya kerana itu perintah Allah kerana aku takut akan balasan di dalam kubur, kerana aku takutkan azab di akhirat, apakah sebenarnya aku melakukan itu dengan ikhlas? semata-mata kerana Allah? aku masih bingung memikirkan adakah selama ini aku merasakan cukup dengan amalku? adakah aku merasakan cukup dengan perbuatan yang aku kira baik untukku? aku malah diam dan langsung tidak lagi berbicara, aku berjalan perlahan menuju ke rumah tuhan. aku menangis sekuatnya dihadapan tuhan, malu aku benar malu, selama ini kerap juga aku melakukan sesuatu seperti membaca kaifiat mengamalkan sesuatu bacaan atau surah di dalam al-Quran, aku jadi bingung kerana selama ini aku melakukan sesuatu amal baik itu kerana aku mengharapkan balasan dan bukannya kerana Allah, di mulut dan di hati niatnya kerana Allah tapi sebaliknya mengharap kelak nanti kaifiatnya aku punya.
aku malah berfikir jadi selama ini aku sebenarnya manusia yang berkira dengan Allah yang maha mencipta yang menjadikan langit dan bumi, yang melengkapkan segala keperluan diri. bagaimana anak kecil di usia Abil mampu berfikir tentang ini diawal usia dan aku cuma menyedari hakikat setelah bertemu dia. MasyaAllah, hebatnya Allah diwaktu apa pun Dia masih tetap membantu, benarlah tuhan itu baik dia berikan segala yang diperlukan untuk kita yang selamanya baik untuk kita, dan kita pula seharusnya sedar bahawa setiap apa yang kita lakukan seharusnya benar ikhlas semata-mata kerana Dia.
Apa pun yang dikerjakan untuk hal-hal yang baik jangan pernah dianggap cukup dan jangan sesekali dianggap besar bahagiannya kerana kadang akan timbul sifat ujub kelak yang hanya sia-sia, setiap daripada kita di mana pun berada, atas alasan apa pun kita punya kita tidak akan pernah sempurna akan ada kurangnya kita dan setiap kekurangan itu harus dan wajib kita cuba perbaiki kerana apa kerana hal yang terpenting adalah menjadi hamba Allah yang mendapat redhaNya sentiasa dan ya menjadi hamba yang disayangiNya sentiasa.
"kita adalah pendosa tapi Allah adalah maha pengampun adanya"
Wednesday, 23 August 2017
Rahmat
"Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang"
Setiap dari kita punya cerita yang pelbagai
Ada yang begitu indah jalan cerita yang dilalui,
Terdapat juga yang begitu sukar walaupun hanya untuk memulakan langkah,
Meskipun dalam keadaan yang begitu mudah mahupun sukar
Setiap yang datang itu adalah sebuah ujian,
Ujian daripada Allah yang mana setiap satu perlu disyukuri
Allah itu maha adil,
Dia maha mengetahui maka diberikan kita segala yang kita perlu,
Terkadang kita malah merungut kerana itu bukan yang kita mahu,
Kita ini bukan wali, buka qiai, bukan juga para nabi,
Kita cuma hamba yang pemikirannya terbatas,
Hal yang kita mahukan barangkali mampu menjadikan kita lebih sukar dari sebelumnya
Cukuplah sekadar apa yang ada,
Dia malah tidak pernah berhenti memberikan rahmatnya,
Meskipun seringkali kita dengan mudah pergi meninggalkanNya.
Allah akan selalu ada,
Tidak pernah jauh,
Malah begitu hampir,
Saat saya menulis ini,
Jiwa saya malah berantakan,
Hati saya kegelisahan,
Saya sedang merasakan bahawa dunia ini semakin sempit,
Saya malah rasa terhimpit,
Tertekan dek bebanan perasaan
Kemudiannya saya sedar rahmat Allah itukan berpanjangan,
Selama mana saya tidak pernah meninggalkan.
Mungkin belum rezeki saya untuk apa yang saya inginkan.
Menjadi rasional dalam masa pergolakkan emosi
Ini adalah hal yang terlalu sulit,
Kau mengetahui itu salah tapi kau masih mahu meneruskan juga.
Saya tahu kalian yang membaca juga sedang begitu,
Punya satu masa dimana dirasakan sudah tidak ada apa lagi untuk kita,
Hentikan itu, kerana Allah tidak menyukai orang yang berputus asa.
Semoga sahaja setiap hari dilalui dengan tenang,
Semoga sahaja Allah akan berada dalam perjalanan kita
Semoga kita akan selalu tabah menghadapi semua.
_aienaznan_
Thursday, 11 May 2017
Permulaan
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
Sudah bermusim lamanya jemari ini tidak menyentuh papan kekunci dalam erti kata menulis mahupun rumi ataupun jawi,
Kebanyakkan hari tersisa dengan hanya duduk termenung memikirkan ke mana hilangnya jiwa yang kini ada cuma raga yang kosong,
Ruh sudah lama meninggalkan jasad sendirian akal yang seakan waras sebenarnya sedang berantakkan berperang dengan perasaan,
Jiwa kian celaru dalam menuntut hak yang satu dia terus juga dibutakan nafsu malah terikut segala yang dijanjikan palsu,
Kini gadis ini kembali lagi dengan semangat dan tekad yang bukan kepalang jika diizinkan Tuhan dia mahu jadi pahlawan terbilang,
Gadis dalam pasungan cuba membenarkan diri keluar mencari jawapan sedang dunia masih lagi belum mampu ditawan akhirat juga masih dikejarkan,
Terikat kaki dan tangan melangkah perlahan dia kehadapan jatuh dia bangun melawan setiap kesakitan dia sudah biasa dengan tomahan dan cacian,
Bertahanlah pada satu rasa yang dirasakan perlu jangan pula akhirnya menjadi hamba nafsu berfikirlah dengan akal yang satu jangan ditipu janji palsu.
_ellailain_
_perempuandalampasungan_
_051117_
Sudah bermusim lamanya jemari ini tidak menyentuh papan kekunci dalam erti kata menulis mahupun rumi ataupun jawi,
Kebanyakkan hari tersisa dengan hanya duduk termenung memikirkan ke mana hilangnya jiwa yang kini ada cuma raga yang kosong,
Ruh sudah lama meninggalkan jasad sendirian akal yang seakan waras sebenarnya sedang berantakkan berperang dengan perasaan,
Jiwa kian celaru dalam menuntut hak yang satu dia terus juga dibutakan nafsu malah terikut segala yang dijanjikan palsu,
Kini gadis ini kembali lagi dengan semangat dan tekad yang bukan kepalang jika diizinkan Tuhan dia mahu jadi pahlawan terbilang,
Gadis dalam pasungan cuba membenarkan diri keluar mencari jawapan sedang dunia masih lagi belum mampu ditawan akhirat juga masih dikejarkan,
Terikat kaki dan tangan melangkah perlahan dia kehadapan jatuh dia bangun melawan setiap kesakitan dia sudah biasa dengan tomahan dan cacian,
Bertahanlah pada satu rasa yang dirasakan perlu jangan pula akhirnya menjadi hamba nafsu berfikirlah dengan akal yang satu jangan ditipu janji palsu.
_ellailain_
_perempuandalampasungan_
_051117_
Subscribe to:
Posts (Atom)
