Friday 13 December 2019

ARUNGAN JIWA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dibiarkan layu sebuah harapan,
Teruslah mati segala impian,
Ditinggalkan di adipati kecewa dan derita,
Meraunglah jiwa-jiwa kebuluran,

Ditatapnya mata seorang wanita,
Diberikannya airmata sebagai santapan,
Diteguk perlahan dengan rasa binasa,
Tidak hilang haus yang datang hanyalah kekesalan,

Senyum sinis di bibir terlukis,
Puas melihat derita yang dicipta,
Tiada kata maaf yang dibina kesalnya,
Riak bangga untuk segala sengsara,

Sayangnya bunga dipuja tidak lama,
Layulah ia di dalam taman impian,
Segala afwah kini hanyalah dongeng belaka,
Hilang waras dibunuh dalamnya cinta,

Tinggallah segala impian berkubur sepi,
Terlihat datangnya seorang laki-laki,
Lesu langkahnya diatur perlahan,
Tersungkur dia tersembam menyembah tanah,

Perlahan dikeluarkan kelopak bunga yang dikumpulkan,
Ditabur perlahan dengan sorotan mata yang kosong,
Seperti separuh jiwanya telah mati ditanam waktu,
Saat dia hampir berlalu,
Ajal tiba menjemputnya berlalu.

_meghah_
_061219_

Thursday 5 December 2019

BERTEMU CAHAYA

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani


Izinkan saya berbicara menggunakan susunan aksara,
Jika ada tersilap bahasanya,
Tersalah maksudnya,
Maafkanlah,
Saya ini jugalah manusia biasa yang tidak pernah lari dari khilaf.

Ruang masa terbuka lagi, jalan impian tertebar luas, maka ramailah manusia berpusu-pusu dalam mencari kebahagian yang mendamaikan dalam bentuk permata yang bekerlipan.

Dalam kesesakan itu, terlihatlah saya seorang anak muda yang usianya hampir mengjangkaui dewasa, termenung seorang diri, seperti kehilangan sesuatu tapi tidak pula dicarinya.

Menghampirinya, saya bertanya perlahan "Kehilangan sesuatu?", dia berpaling, sambil tersenyum dia berkata "Saya ini orang biasa, orang kerdil, orang tak punya apa, bagaimana pula kehilangan sesuatu".

Saya masih keliru, sepertinya dia sedang mencari sesuatu, tetapi tidak pula dia kehilangan apa-apa, saya mengambil masa yang dipinjamkan Tuhan percuma, duduk di sampingnya, menyelami isi hatinya, sayang tidak saya punya kuasa deria ke tujuh untuk memahami dan mendengar isi hati manusia.

Dia kemudiannya berpaling kearah saya, senyum, sinis, lalu ditanyakan kepada saya "Kehilangan sesuatu?",gila! bisik saya, saya seperti keliru hilang arah, tak semena-mena, saya seperti hilang akal. Soalan daripada dia membuatkan saya termenung sama seperti dia, perlahan, dia menghampiri saya, lalu berbisik "Aku tidak gila, barangkali kau yang sedang gila, duduk bersama orang yang tidak kau kenal siapa, bertanya tentang kehilangannya, sedang kau yang sesat hilang arah!"

...........

Aku terdiam, tiada kata yang mampu aku zahirkan, benar kata dia, aku bertanya tentang kehilangan, sedang aku yang tiada punca, aku sendiri mencari apa maknanya hidup, mengapa aku ada di sini, akal terbatas, jiwa kosong tiada alas. Perlahan, airmata mulai membasahi pipi, "Eh! Air apa ini, tiada hujan di sini, awan cerah, angin juga sepoi-sepoi bahasa" Perlahan dia berkata "Selama ini, langit jiwa kau sendiri kering, kosong, perasaan yang sudah kemarau kini kembali hujan, airmata rahmat membasahi jiwa hampa"

"Siapa dia, yang sepertinya cukup kenal dengan diri aku sendiri, malah lebih daripada aku mengenali diri, dia ini malaikat? Roh? Hantu!" gumam di dalam hati sendirian dan dengan mata berkaca yang pecah perlahan-lahan.

Saya ini, sudah lama meninggalkan segala yang sering menggembirakan, saya ini sudah lama tidak berbicara dengan Tuhan, apa lagi dengan diri, sendirian, saya ini sudah lama kehilangan, cahaya yang digambarkan sebagai keimanan, bergoncang seluruh anggota saat saya menyatakan. Akhirnya di sini, di dalam sesaknya dunia orang berlumba-lumbaan, menjadi anak jagoan, menjadi yang perlukan perhatian, saya menemukan cahaya Tuhan, anak muda yang hampir hilang usia memberikan saya satu kenyataan yang perlu saya temukan.

Soalan saya, mengapa dia yang bantu saya dalam kesesatan, mengapa dia yang tadinya sendirian kini menjadikan saya teman, kekeliruan terus memakan sisa-sisa waras yang tertinggal di dalam akal.

"Kau masih tidak perasan? Kau masih perlukan masa sendirian? Kau masih hilang dalam kesesatan?"

"Aku ini adalah kau yang telah hilang kesempatan, aku ini adalah kau yang sering menghilang dalam kesempitan, aku ini adalah kau yang sering hilang dalam kesesatan, aku ini adalah sisi kau sendiri yang telah kau hilangkan!!!!!"

Dia berteriak, marah, tapi dia masih ada di sini, tidak pula dia berlalu, entah apa yang dia mahu dari aku, mungkin dia cuba menguji aku, atau mungkin sebenarnya aku dalam program realiti yang ingin bergurau dengan aku, mana kamera, aku cuba mencari, seperti orang gila aku menyelongkor seluruh pelusuk kawasan berhampiran, sayang tiada!

"Aku ini adalah kau, yang semakin meninggalkan usia muda, aku ini adalah kau yang hilang ditelan cita-cita, aku ini adalah kau yang tidak kau endahkan, kau biarkan sendiri, hidup dengan mengemis dan memakan sisa-sisa waktu yang kau siakan!!!!"

"Diam!!!!!"

Tak mungkin dia adalah aku, aku ini, bijak orangnya, tidak mudah dibunuh perasaan sendiri, aku bukan orang yang mudah mengalah, tidak dia bukan aku!

"Kau tipu!!!! Aku ini adalah orang yang jauh berbeza dengan yang kau zahirkan! Aku ini adalah orang  yang akan berjuang habis-habisan untuk diri dan teman-teman! Aku ini adalah orang yang sentiasa memberi tanpa mengharapkan! Aku ini adalah..........."

"Aku.......Kau......"

"Kau adalah aku, yang sering mementingkan sekeliling, dunia, dan lupa dalam mengejar cita-cita, kau tinggalkan Tuhan!!!"

"Tidak! Aku tidak pernah tinggalkan Tuhan, aku solat, aku masih baca Al-Quran, tidak kau ini Syaitan bukan!!!!!"

"Solat yang sering kau lewatkan? Untuk diri dan teman-teman? Al Quran yang kau tinggalkan di katil buat perisai segala gangguan? Jelasnya bukan aku syaitan tapi kau sendiri yang bertemankan, syaitan dan menjadi munafik yang bangga dengan perbuatan"

...Menangis, sendu, syahdu, pilu....

"Aku....Aku...Aku cuma nak berusaha untuk yang terbaik....aku cuma mahukan segala yang terbaik untuk aku dan semua..."

"Kau, sememangnya ingin yang terbaik, tapi kau lupa Tuhan mengaturkan semuanya dengan lebih baik, Dia Maha Melihat, Maha Mengetahui, Dia akan selalu ada dalam menghitung Dosa dan Pahala"

Salahkah aku, mengejar cita-cita di dunia, salahkah aku ingin menjadi yang terbaik dikalangan semua, membuktikan yang aku juga selayaknya diterima, salahkah aku ingin menghampiri sempurna, salahkah!

"Tidak! Aku tidak salah!

"Tuhan selalu sayangkan kau, sekali pun Dia tidak meninggalkan kau, disaat kau mencari hilang, Dia berikan jalan, disaat kau meraba dalam gelap Dia berikan cahaya dari siang, disaat kau memerlukan sayang, Dia hadirkan keluarga dan rakan-rakan, Dia tidak pernah tidur, selalu ada untuk kau dan aku"

...........Diam....

Dalam terang juga aku masih memerlukan penglihatan, dalam sunyi juga aku masih memerlukan pendengaran, dalam qiam juga aku masih perlukan anggota untuk mengukuhkan, dan semua nikmat ini dari Tuhan yang sering aku dustakan.

"Tuhan...jika ini adalah pengakhiran, aku mohon segala keampunan, meskipun, dengan setiap salah dan laku yang melampaui batasan aku tidak layak dijanjikan syurga sebagai pengakhiran, Tuhan... jika ini adalah sebuah permulaan aku mohon berikan aku peluang untuk membuktikan diri aku insan, lemah hina, tidak lepas daripada segala dosa dan kekesalan"

"Tuhan mendengarkan setiap ucapan, jangan pernah berputus asa dengan rahmat Tuhan, jika belum diberi yang kau mahukan, barangkali ada yang lebih baik menanti di hadapan, jangan pernah kau lupa beri aku makan, jiwa kosong mudah dihuni syaitan, akan datang segala gangguan moga kau kuat untuk masa hadapan"

Perlahan, saya melihat anak muda tadi berlalu pergi dalam lorong yang sempit tetapi semakin melebar, perlahan cahaya mulai menyinari lorong tadi, anak muda yang awalnya muram berpaling dan senyum, dari gerak bibirnya saya melihat "Kau boleh...Aku ada Selalu"

Tersentak saya apabila dikejutkan dengan laungan Azan, ditinggalkan dahulu kisah ini sebagai pengakhiran yang saya kira akan menjadi permulaan, moga kita akan selalu dikejutkan dengan jiwa dan perasaan yang kaya dengan rindu kepada Tuhan.

_meghah_
_061219_
 

PENA MENARI HATI MENYANYI Template by Ipietoon Cute Blog Design and Bukit Gambang