Monday 4 March 2019

MENULIS UNTUK DIRI SENDIRI

"Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang"

Sudah lama saya kira jemari saya tidak menari di atas papn kekunci, barangkali kerana kekurangan masa, barangkali kerana saya yang tidak tahu membahagi masa, bagaimanapun ia,pada hari ini dan ketika ini, saya menulis lagi. 

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana ingin menzahirkan perasaan saya, ternyata terlalu banyak hal yang telah pun perlahan berbeza, terdapat banyak hal yang telah pergi meninggalkan saya, tidak lupa juga manusia-manusia yang pernah ada kini nama mereka sekadar di kepala di hati sudah hilang semuanya. 

Mengertilah saya bahawa masa itu berputar dan ianya malah pantas untuk kita semua, paling tidak untuk saya begitu halnya. Masa bukan lagi mencemburui saya malah dibunuhnya saya perlahan-lahan dengan semua memori bersama yang dicipta. 

Sesalan adalah teman rapat saya pada ketika ini, akan tetapi saya sedang cuba meletakkannya di laut dalam supaya lemas dia di sana. Saya menjadi hairan, mengapa hari-hari saya masih lagi berkisar tentang cerita yang sama sedangkan masa itu tadi berputar, mengertilah saya bahawa sayalah orangnya yang tidak mahu meneruskan perjalanan. 

Setelah itu, kini saya mula melangkah, meninggalkan hal-hal dan orang-orang yang telah menjauhi saya. Bagi saya, jika saya bukan siapa-siapa buat mereka mengapa mereka harus menjadi yang ada-ada di jiwa saya. 

Hidup adalah sebuah kitaran yang ulung, kita akan berada di paksi yang berbeza maka tidak adil jika kita menyamaratakan semua. Saya berpendapat ada hal yang kita tidak perlu bandingkan dengan yang lain, kerana cepat atau lambat, kita pasti akan meraih kejayaan sesuai dengan keperluan. 

Kepada yang sedang membaca ketahuilah bahawa apa yang kita harapkan pada suatu masa dahulu tidak akan selamanya kekal untuk kita. Sedangkan pantai juga berubah ini pula kita manusia, bersyukurlah dan jangan pernah menjadikan setiap kesedihan alasan untuk kita terus tertinggal di belakang. 

Jika kita merasa penat tentang apa pun, yang harus kita lakukan adalah berhenti, hirup secawan cokelat panas, jika tidak secawan kopi tambah manis secawan teh, kemudiannya hiruplah udara segar di kelilingmu dan bernafas dengan tenang. Setelah merasa puas, bangkitlah perlahan, jangan gopoh, capai tongkatmu buat peneman, pegangan sepanjang jalan, teruskanlah perjalanan, 

Di hadapan akan banyak dugaan yang melintang, akan banyak cabaran yang mematah, tapi ketahuilah semangatmu adalah lebih dari apa yang kau tahu dan kau bayangkan malah tidak ada sehari pun semangat itu padam. 

Doronglah diri mu ke laluan yang kecil kelak akan bertemu jalan besar di penghujungnya. Di setiap perhentian ketahuilah sudah banyak cabaran diharungi dan sudah banyak isah yang dilengkapi. Hidup ini adalah untuk sehari lagi, jadi, jangan pernah mati dalam sepi. 

_ellailain_
 

PENA MENARI HATI MENYANYI Template by Ipietoon Cute Blog Design and Bukit Gambang