Wednesday 20 December 2017

Rezeki Allah

"Dengan nama Allah yang maha penyayang lagi maha mengasihani"

Seumur hidup aku, ini adalah kali pertama aku menulis dalam keadaan yang sebak, bukan kerana apa kerana aku merasakan saat ini aku terlalu jauh dengan Tuhan sedangkan Tuhan tidak pernah sekali menjauhi aku, sehina apa pun aku, sejahat mana pun aku, sejelek apa pun aku Tuhan tidak pernah sekali menjauh. 

Sedang aku dalam begitu banyak rahmat dan berkat yang dilimpahkan aku masih lupa dan kadang lalai dalam menjalani hidup sebagai seorang hamba. Hari berganti hari dan musim pun berlalu, aku cuma menjalani hari-hari biasaku tetapi dalam kebiasaan ini ada banyak hal yang berlaku barangkali tuhan sedang cuba mengetuk pintu hatiku, Dia rindu dan aku masih begini angkuh sombong selesa seakan dunia ini miliku. 

Sedikit daripada kita sedar yang setiap ujian dan setiap apa yang Allah berikan itu adalah hadiah tanda kasih sayangNya pada kita, kita ini cuma tahu merungut dan ya, dalam 10 hal mungkin cuma satu kita akan benar rasa bersyukur itu pun kalau kita masih ingat untuk mensyukuri setiapnya. 

Rupa yang elok, paras yang sempurna, kesihatan yang baik, akal yang waras, makan dan pakai yang ada, ini kan semuanya rezeki Allah, akan tetapi ramai juga yang mengatakan "ah, andai sahaja aku mampu untuk begini, begitu pasti akan lebih baik" sedarkah kita bahawa Allah sahajalah yang maha mengetahui lagi maha berkuasa di atas setiap kejadian. Dijadikan dan disempurnakan setiap hal itu di dalam kekuasaanNya dan pengetahuanNya. Dia sahajalah yang malah mengetahui jika sesuatu itu benar baik atau tidak untuk kita. 

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Ayat di atas jelas menunjukkan yang kita ini punyai akal yang sangat terhad dan kita tidak akan mampu untuk mentafsirkan sesuatu hal, adalah lebih baik kita sentiasa bersangka baik kepada Allah dan setiap ketentuanNya. Penulisan kali ini ditulis bukanlah untuk menunjukkan rasa pandai mahupun meninggi diri ia lebih kepada mengingati diri sendiri supaya tidak tersasar nanti. Terlalu banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini, contohnya pengisytiharan baitumaqdis sebagai ibu negara Israel, kes bunuh diri yang semakin meningkat angkanya, kes bunuh sesama Islam apa lagi jika kita melihat kes zina dan maksiat dan juga lambakan mereka yang cuba mengubah ciptaan Allah dengan alasan naluri mereka sedari kecil begitu, apa pun alasanya saya tidak akan pernah bersikap prejudis namun harus mereka dan semu ketahui hal ini adalah salah dan kekal berdosa. 

Ya memang benar kita bukanlah maksum, akan tetapi kita seharusnya mencuba sehabis boleh untuk meminimakan dosa yang bakal dicatit sebagai amalan kita kelak, jika benar ajal kita terlalu hampir kita semestinya ingin mati dalam husnul khotimah. Moga kita akan biasakan diri untuk melakukan segalanya dengan niat kerana Allah dan kita akan selalu mengikhlaskan sesuatu daripada Allah itu dengan seikhlasnya kerana ketahuilah Allah tidak pernah zalim dan Allah tidak pernah tidur, Dia selalu ada dengan kita dan kita ini jangan pula mengangkat diri terlalu tinggi kerana apa yang kita punya semuanya pinjaman sementara. 

Terima kasih Allah untuk semua rezeki barangkali belum masa bergelar isteri tapi masih diberi kedua ibu-bapa yang sangat dikasihi, adik beradik yang selalu di sisi, rakan-rakan yang tak kenal erti lelah, pekerjaan yang baik, kesihatan diri dan tubuh badan yang sempurna, peluang untuk berjihad dalam mengumpul ilmu di dunia dan ya terima kasih Allah untuk kehadiran seorang lelaki yang mengusik hati, mungkin belum pasti sehingga ke mana jodoh bersama didoakan ke jannah hendaknya. Biarlah apa pun kata-kata yang diterima hanya Engkau yang mengetahui segalanya. 

_aienaznan_
 

PENA MENARI HATI MENYANYI Template by Ipietoon Cute Blog Design and Bukit Gambang